Create your own banner at mybannermaker.com!

Monday, 16 January 2012

Tanggungjawab menyelesaikan hutang...

Salam semua...

Hari ni tergerak nk tulis pasal hutang...hutang duit la terutamanya...menjadi tanggungjawab penghutang utk langsaikan hutangnya, walaupun 1 sen...Even di akhirat nanti pon kita kena bayar hutang dgn memberi pahala amalan kita kpd org yg kita hutang, if xcukup pahala kita cmne? maka ambik la dosa-dosa pemiutang kita sbg membayar hutang kita itu....Na'uzubillah....

Actually ak terdetik nk menulis topik hutang arini sebab gambar ni....
Sangat tulus budak yang terlibat dalam perjanjian ni kan?

Akan adakah kita yang tergolong dalam usia dewasa ni terfikir nk buat perjanjian bertulis mcm ni untuk setiap ringgit hutang kita pada kwn2 kita? nak belanja org pon kdg2 terdetik juga rasa xberapa nk ikhlas, ni kan plak nk sign perjanjian bagai cm gmbr ni kan?

Dipetik dari website YADIM, tulisan Norhuriyatina Salleh, dibincangkan dengan panjang lebar mengenai BERHUTANG: SEBAB & AKIBAT...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah bin ´Amir yang bermaksud: “Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya.” Mereka berkata: “Apa itu, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Hutang.” Itulah sebabnya, umat Islam diajarkan sepotong doa yang bermaksud: “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada kegundahan dan kesedihan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada sifat pengecut dan bakhil, daripada kesempitan hutang dan penindasan orang.”

Bagaimanapun, dalam agama Islam membenarkan malah mengharuskan seseorang berhutang ketika berdepan dengan kesusahan dan kesempitan hidup yang melibatkan masalah kewangan. Dalam masa yang sama, Islam memberi galakkan kepada umatnya agar memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan dalam pelbagai bentuk seperti pinjaman secara berhutang bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. 

Dalam keadaan ini, Allah menggariskan dengan terperinci cara atau adab berkaitan hutang-piutang. Membayar balik hutang adalah sesuatu yang wajib dilakukan sehingga harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris.

Islam bukan saja mewajibkan umatnya membayar hutang, malah menjanjikan bahawa kalau berhutang dengan niat untuk membayar, Allah akan memudahkan kita.
Sebaliknya, kalau berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ayat ´Allah akan membayarkan´ adalah Allah akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat membayar hutangnya.

Persoalan mengapa mesti kita berhutang? Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terjebak dalam hutang antaranya ialah keinginan memenuhi kehendak dan hawa nafsu untuk memiliki sesuatu yang tidak mampu ditunaikan kecuali dengan berhutang. Pengaruh daripada sahabat handai atau jiran tetangga yang sering memberi galakan untuk berhutang. Walaupun pada hakikat dirinya itu tidak memerlukan, tetapi hanyalah untuk berbangga dengan apa yang dimilikinya.

Sikap tidak merasa puas dan cukup dengan apa yang telah dimiliki dan demi memenuhi kehendak dan hajatnya tanpa memikirkan akibat yang mendatang. Berkehendakkan sesuatu benda yang melibatkan metarial dan kebendaan dengan cepat dan pantas walaupun pada hakikatnya ia tidak mampu berbuat demikian. Tetapi jika perkara yang ingin dimiliki itu bukan merupakan perkara asasi atau penting dalam kehidupan seseorang itu, maka tidak perlulah ia berhutang, kerana hanya akan menambahkan bebanan lebih-lebih lagi jika melibatkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan sistem riba´.

Penyakit suka berhutang ini jika diamalkan akan menjadi satu budaya dalam kehidupan. Hal ini boleh mendatangkan kesan negatif kepada pemuitang seperti muflis disebabkan bebanan hutang yang tinggi dan gagal melunaskannya. Antara kita sedar atau tidak, jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman. Hidupnya dalam kancah resah gelisah dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi. Seseorang ynag berhutang berkemungkinan untuk melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh Syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.

Ada di antara kita tidak mengatahui bahawa seseorang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya setelah meninggal dunia sehinggalah dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya, "Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya.”

Amalan berhutang ini bukan sahaja melibatkan kehidupan dunia semata-mata, bahkan ia berpanjangan hingga ke hari akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:
"Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi."

Mereka yang berhutang walau sebanyak mana sekalipun, amalan kebaikan yang dilakukan, ia tidak akan selamat di dunia dan di akhirat meskipun dia mati syahid. Rasulullah s.a.w sendiri tidak akan menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali Karramallahu Wajhah, bahawa bila didatangkan kepada Rasulullah s.a.w satu jenazah, Rasulullah s.a.w tidak akan bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabat baginda menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup menaggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal.

Apabila seseorang itu berhutang, maka ia wajib membayarnya semula dengan kadar segera setelah berkemampuan berbuat demikian. Bagi mereka yang suka melewat-lewatkan pembayaran hutang walaupun berkemampuan boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap kehidupan mereka. Kesan ini bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya. Hidup mereka tidak akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah s.w.t. Perbuatan mereka itu digolongkan dalam perbuatan zalim. Amalan kebajikan mereka tidak akan diterima.

Seseorang yang berhutang itu, telah berjanji untuk membayar hutang mengikut sesuatu tempoh, tetapi dia tidak menepatinya, maka dia tergolong dalam golongan orang yang munafik. Dalam konteks masyarakat kita pada hari ini, terdapat segelintir masyarakat yang berhutang, tetapi tidak menjelaskan hutang tersebut. Seringkali kita dengar dan lihat melalui laporan media cetak dan elektronik menerangkan tentang situasi mereka yang terpaksa berdepan dengan pelbagai bahaya bukan sahaja kepada dirinya malah turut melibatakan ahli keluarga yang menjadi mangsa seperti diugut, dipukul, disamun, dibunuh dan ada sebahagian daripada penghutang ini membunuh diri kerana tekanan yang dialami.

Setiap orang diharuskan berhutang tetapi harus diingat janganlah nilai hutang itu terlalu tinggi sehingga membebankan diri sendiri apabila hendak membayarnya.
Bagi menjamin hubungan mesra sesama manusia, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab si pemiutang untuk membayar semula apabila sampai tempoh perjanjiannya. Jangan sekali-kali menangguhkan pembayaran hutang tersebut apabila mempunyai peluang untuk membayar hutang kerana perbuatan tersebut digolongkan dalam perbuatan zalim dan dia berhak mendapat hukuman di atas perbuatannya itu. 

Islam sangat mengambil berat dalam soal pembayaran hutang, dalam erti kata lain pembayaran hutang merupakan suatu syarat untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t..
Seseorang yang berhutang hendaklah berniat dalam hatinya untuk menunaikan hutang tersebut mengikut tempoh masanya kerana Allah s.w.t akan memudahkan baginya untuk membayar hutangnya.Seseorang yang berhutang janganlah menangguhkan bayaran jika mempunyai peluang untuk membayarnya kerana perbuatan tersebut adalah tergolong dalam perbuatan orang yang zalim. Kita mesti mempunyai sifat syukur kepada Allah s.w.t dengan apa yang telah kita miliki dan melaksanakan sifat amanah serta tanggungjawab agar kita dilindungi daripada bahaya dunia dan akhirat.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Semoga mendapat sedikit ilmu dari topik ni...Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment

Any Comment??

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...