Ramai di antara kita sering mengeluh dan bertanya kenapa anaknya tidak dengar kata dan selalu buat perangai. Bagaimanakah boleh jadi begini?
Bagi ibu bapa yang berhadapan dengan masalah seperti ini, pernahkah anda terfikir yang tidak dengar kata dan yang sedang buat perangai itu sebenarnya bukan anak sebaliknya anda?
Tentu anda tertanya-tanya mengapa? Bukankah anak itu cerminan anda? Seperti yang kita semua tahu, anak dilahirkan suci bersih tanpa sebarang kekotoran. Kita orang dewasalah yang mencorakkannya.
Dari Abu Hurairah r.a. diriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda, “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Jadi, jika anda marahkan anak, anda terlebih dahulu patut dimarahi kerana anda yang mendidiknya. Cuma yang membezakannya ialah sama ada dia belajar secara formal daripada anda atau secara tidak formal iaitu berdasarkan contoh yang anda tunjukkan. Mungkin ramai di antara kita terlupa dan ada juga yang tidak sedar bahawa anak sentiasa meniru setiap tingkah laku orang yang berada di sekelilingnya.
Bagi mereka, ibu bapa adalah idola. Baik mahupun buruk perangai ibu bapa, mereka tetap ikut sebab mereka tidak tahu membezakan antara perkara yang baik dengan yang tidak selagi belum diajar.
Perkara asas yang perlu ibu bapa tahu dalam mendidik anak ialah tentang kasih sayang. Didiklah amanah Allah ini dengan penuh kasih sayang sebagaimana sayangnya Yang Maha Esa kepada kita hamba-Nya. Walaupun banyak kesalahan dan kesilapan telah kita lakukan, Allah SWT tidak pernah mengabaikan kita dan sentiasa memaafkan malah kasih sayang-Nya pada kita tidak pernah pudar. Begitulah juga dengan kita semua. Jika anak berbuat silap jangan terus memarahinya. Selidik dahulu apa puncanya dan ajak anak perbetulkan kesilapannya. Barulah anak rasa diri disayangi dan dihargai. Hasilnya, anak-anak akan sentiasa rapat dengan ibu bapa dan bukan menjauhkan diri lalu mencari kasih sayang di luar rumah.
Dari semasa ke semasa, terapkan dalam diri anak tentang realiti kehidupan kita di dunia ini. Terangkan pada anak, mengapa Allah SWT cipta kita dan apa tugas kita di muka bumi ini. Ingatkan juga pada anak agar sentiasa berselawat kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, insan yang membimbing kita ke jalan yang benar.
Bagi anda yang ada anak lelaki, rajin-rajinlah bawa dia solat berjemaah di surau ataupun masjid. Seminggu sekali pula, ajaklah seisi keluarga berjemaah di masjid sambil menghadiri majlis-majlis ilmu. Pada masa yang sama, jangan lupa menekankan tentang penting membaca Al Quran. Biasakan anak-anak membaca Al-Quran sekurang-kurangnya lima ayat setiap hari.
Di dalam kenderaan pula, lebih baik jika anda ajak anak-anak mendengar alunan zikir atau tazkirah berbanding mendengar lagu-lagu yang boleh melalaikan dan yang terlalu memuja dunia. Ibu bapa juga boleh menggunakan masa di dalam kereta untuk mengajar anak-anak tentang pelbagai perkara yang ada di sekeliling. Hasilnya, masa yang ada tidak dibazirkan begitu sahaja sebaliknya setiap detik yang dilalui dimanfaatkan sebaiknya.
Semoga kesungguhan kita mendidik anak-anak ke jalan yang benar akan sentiasa diredai Allah dan keluarga kita akan sentiasa dirahmati, diberkati dan diberi taufik dan hidayah. Amin.
KESILAPAN MENDIDIK
Pilih Kasih Antara Anak-anak
Jangan sesekali anda bezakan kasih sayang pada anak-anak walaupun nyata ada seorang daripada mereka yang bijak dan pandai mengambil hati anda. Setiap kali ingin melebihkan seorang anak daripada yang lain, fikirkan apa yang anda akan rasa jika anda di tempatnya, menjadi anak yang dipinggirkan. Cara ini mampu menyedarkan anda tentang pentingnya menyayangi semua anak sama rata.
Menegur Menggunakan Perkataan Negatif
Ramai ibu bapa begitu mudah marah anak dengan menggunakan bahasa-bahasa yang kasar. Akibatnya, anak sudah terbiasa dengan perkataan negatif itu dan akan mengulanginya jika dia marah pada seseorang. Untuk mengelakkan hal ini terjadi, gunakanlah bahasa yang baik ketika menegurnya dan tegurlah dia dengan lembut dan bukan menengking atau menjerit.
Malas Berdoa Untuk Kesejahteraan Anak-anak
Ketahuilah bahawa doa ibu bapa terhadap anak-anaknya sangat makbul. Jika inginkan anak yang mengikut perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya, rajin-rajinlah berdoa dan lebih elok jika bangun malam, bertahajud dan solat hajat. Insya-Allah, tuhan akan membantu kita.
Mungkir Janji
Jangan sesekali mungkir janji pada anak-anak. Sekira tahu anda susah menepati janji, jangan berjanji. Akibatnya, anak akan mudah hilang kepercayaan pada anda seterusnya tidak akan menghormati anda.
Kurang Memberi Perhatian Pada Anak
Ada sesetengah ibu bapa selalu tidak mengendahkan setiap pertanyaan atau cerita anak-anak. Alasannya sibuk. Sepatutnya, ibu bapa perlulah sentiasa bertukar-tukar cerita dengan anak-anak dan bertanyakan perkembangan terkini mereka. Barulah anak rasa diri dihargai dan disayangi.
Terlalu Manjakan Anak
Kurang perhatian terhadap anak-anak tidak baik, terlebih memanjakannya pula boleh membinasakan. Langkah terbaik ialah sederhana dalam setiap tindakan dan perbuatan.
Tidak Menghargai Anak
Ramai ibu bapa sentiasa memang kelemahan anak-anak berbanding kelebihan mereka. Akibatnya, anak rasa kecil hati seterusnya menjauhkan diri daripada keluarga. Anak-anak ini akan memendam rasa dan membuatkan mereka murung.
P/S : Nota utk kebaikan bersama :)
Sumber: disini!
No comments:
Post a Comment
Any Comment??